Pihak berkuasa Thailand menumpaskan cubaan menyeludup 23 warga Myanmar ke Malaysia selepas menahan empat lelaki yang dipercayai ejen sindiket penyeludupan manusia di Hat Yai, Isnin lalu.
Dalam operasi itu, 10 daripada warga asing berkenaan dikesan menggunakan pasport palsu, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Operasi berkenaan dijalankan menerusi kerjasama Biro Imigresen Thailand, Polis Pelancong, Polis Peronda Sempadan (BPP) 43 dan Polis Hat Yai susulan maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan migran tanpa dokumen sah ke wilayah Songkhla.
Jurucakap Bahagian Imigresen 6, Polis, Kolonel Charoenphong Khantiloh berkata, hasil risikan membawa pasukan serbuan ke kawasan hadapan Stesen Kereta Api Hat Yai.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima upah 2,000 baht (kira-kira RM240) untuk membawa pekerja Myanmar dari wilayah Ratchaburi ke Songkhla sebelum mengatur perjalanan bas ke Terminal Bas Hat Yai.
“Mereka kemudian bergerak ke sempadan (Malaysia),” katanya.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah ketika menunggu untuk mengiringi kumpulan migran itu melalui laluan tidak sah di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.
Sementara itu, jurucakap keselamatan Thailand berkata, kesemua 23 migran terbabit mendakwa diperdaya ejen berkenaan yang menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia.
“Mereka dipercayai membayar sejumlah wang yang besar kepada sindiket terbabit sebelum diseludup masuk secara haram ke negara jiran,” katanya.





