17 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu MBSJ

SERAMAI 17 warga asing ditahan manakala 132 tindakan penguatkuasaan direkodkan dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama pelbagai agensi di Pusat Komersial Lagoon Perdana, Bandar Sunway, semalam.

MBSJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan aktiviti perniagaan, pematuhan syarat lesen, kebersihan dan keselamatan makanan serta pengurusan kenderaan buruk.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyaring 75 pekerja warga asing di kawasan komersial berkenaan sebelum menahan 17 individu untuk tindakan lanjut.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat JIM di Kompleks PKNS.

Daripada 132 tindakan penguatkuasaan direkodkan, Bahagian Lalu Lintas MBSJ mengeluarkan 96 Notis Tindakan Kompaun (NTK) atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan parkir.

Selain itu, tujuh notis amaran dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terbiar, manakala sembilan kenderaan ditunda dari lokasi operasi.

Jabatan Penguatkuasaan MBSJ turut mengeluarkan tujuh NTK atas pelbagai kesalahan, termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menggajikan warga asing tanpa permit kerja sah.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan MBSJ mengenakan empat NTK terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi piawaian kebersihan, antaranya tidak memasang perangkap minyak dan membiarkan tong sampah tidak bertutup.

Pemeriksaan terhadap lima premis perniagaan mendapati dua menerima Gred B, dua lagi Gred C, manakala sebuah premis tidak beroperasi ketika serbuan dijalankan.

Bagi tindakan agensi lain, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) merekodkan lima kes membabitkan pemilik perniagaan yang gagal mempamerkan tanda harga.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengeluarkan dua kompaun atas kegagalan mempamerkan papan tanda syarikat dan nombor pendaftaran, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan dua tindakan berhubung ketiadaan tanda amaran larangan merokok.

MBSJ menegaskan operasi bersepadu dan pemantauan berkala bersama agensi berkaitan akan terus dipergiat bagi memastikan semua pengusaha mematuhi undang-undang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, kerjasama pemilik premis perniagaan dan komuniti setempat penting bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, selamat, teratur dan kondusif demi kesejahteraan warga Subang Jaya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here