KKM rampas produk farmaseutikal haram, kosmetik bernilai RM500,000

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM500,000 menerusi operasi penguatkuasaan di Sabah.

Rampasan itu membabitkan 27,910 produk disyaki farmaseutikal tidak berdaftar, 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual serta 23,101 unit kosmetik disyaki tidak bernotifikasi.

KKM dalam kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan terhadap kumpulan sasaran yang disyaki terbabit dalam rantaian bekalan haram berkenaan.

“Hari ini, pasukan penguat kuasa memeriksa 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal serta peruncit dan menemui pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual secara terbuka di kedai runcit dan tamu (pasar awam),” menurut kenyataan itu.

Operasi dikenali sebagai Ops Padu itu dilaksanakan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi KKM Sabah dengan membabitkan 60 pegawai penguat kuasa farmasi.

Seramai 50 anggota daripada agensi lain turut menyertai operasi berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Bahagian Kesihatan Awam KKM, selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut KKM, produk disyaki ubat tidak berdaftar itu akan disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, iaitu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

KKM turut mengingatkan peruncit, pengedar, pemilik kedai dan peniaga pasar supaya memastikan hanya produk kesihatan berdaftar yang mempunyai nombor pendaftaran MAL sah serta hologram keselamatan Farmatag dijual atau dibekalkan.

Orang ramai juga digesa supaya berhati-hati ketika membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik di kedai runcit serta pasar tradisional.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk kesihatan dengan mengimbas hologram keselamatan Farmatag menggunakan aplikasi MyUbat atau melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my melalui bahagian ‘Carian Produk’.

Orang ramai turut boleh melaporkan penjualan ubat-ubatan haram dan produk kesihatan meragukan melalui portal aduan SisPAA KKM di http://moh.spab.gov.my, talian 03-7841 3200 atau Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here