
RAKYAT Malaysia wajar menjadikan tragedi tersebut sebagai ruang muhasabah nasional tentang nilai kemanusiaan, keadilan, kebijaksanaan kepimpinan dan tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan negara.
Dekan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Datu Prof Dr.Awang Azman Awang Pawi berkata, peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985 di Memali, Baling, Kedah, itu telah mengorbankan 18 nyawa, termasuk 14 orang awam dan empat anggota keselamatan.
‘’’Di sebalik perbezaan tafsiran sejarah dan pandangan politik, hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah kehilangan nyawa manusia merupakan tragedi yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, masyarakat dan ingatan kolektif negara,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Sehubungan itu beliau menggariskan lima perkara yang perlu diberi perhatian iaitu:
Pertama, sejarah harus menjadi sumber kebijaksanaan, bukannya medan mewariskan permusuhan. Generasi hari ini perlu memahami bahawa perbezaan ideologi, keyakinan dan pandangan politik tidak seharusnya berkembang menjadi kebencian yang mengancam keselamatan serta keharmonian masyarakat. Kematangan sesebuah bangsa bukan diukur melalui kemampuannya melupakan sejarah pahit, tetapi melalui keberaniannya mengambil iktibar supaya tragedi yang sama tidak berulang.
Kedua, keamanan negara dan maruah kemanusiaan mesti dipertahankan secara seimbang. Kedaulatan undang-undang merupakan asas kestabilan negara, namun pelaksanaannya perlu sentiasa berpaksikan prinsip keadilan, kebertanggungjawaban, kesaksamaan dan penghormatan terhadap nyawa manusia. Kekuatan sesebuah negara bukan semata-mata terletak pada keupayaan menguatkuasakan undang-undang, tetapi juga pada kebijaksanaan mengurus perbezaan tanpa mengorbankan kemanusiaan.
Ketiga, agama dan politik perlu dihayati dengan hikmah, kesederhanaan dan tanggungjawab moral.Perbezaan pendapat merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat demokratik. Namun, perbezaan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan kebencian, menafikan maruah pihak lain atau menormalisasikan keganasan. Prinsip dialog, musyawarah dan saling menghormati mesti mengatasi kecenderungan mempertajamkan pertentangan.
Keempat, ingatan terhadap Memali sewajarnya disertai empati kepada semua keluarga yang kehilangan insan tersayang. Penderitaan manusia tidak mengenal sempadan ideologi mahupun kedudukan politik. Setiap nyawa mempunyai nilai yang tidak ternilai, dan setiap keluarga yang menanggung kehilangan berhak diberikan penghormatan serta ruang untuk mengenang insan tersayang dengan bermaruah.
Kelima, generasi muda perlu dididik memahami sejarah secara kritis, berasaskan fakta dan pelbagai sumber yang dapat dipertanggungjawabkan.Sejarah tidak seharusnya diwarisi melalui sentimen semata-mata. Sebaliknya, penelitian yang jujur, keterbukaan terhadap bukti dan kesediaan mendengar pengalaman pelbagai pihak akan membina masyarakat yang lebih matang serta berupaya membezakan antara pengajaran sejarah dengan eksploitasi politik.
Beliau berkata, pada usia 41 tahun tragedi itu, Malaysia mempunyai kesempatan untuk memperlihatkan kematangan sebagai sebuah negara demokrasi yang menjunjung keamanan, keadilan dan keharmonian masyarakat majmuk.
‘’Sebarang usaha memahami sejarah serta merawat luka kolektif hendaklah dilakukan secara berhemah, berlandaskan fakta dan tanpa kecenderungan membangkitkan permusuhan baharu,’’ katanya.
Awang Azman berkata, Memali seharusnya menjadi peringatan bahawa keamanan tanpa keadilan boleh melahirkan keresahan, manakala perjuangan tanpa kebijaksanaan boleh mengundang penderitaan.
‘’ Negara yang benar-benar kuat ialah negara yang mampu mempertahankan keselamatan, memelihara maruah manusia dan mengurus perbezaan secara beradab. Akhirnya, pengajaran terbesar daripada Memali bukanlah tentang siapa yang harus terus dipersalahkan oleh generasi hari ini, tetapi bagaimana seluruh rakyat Malaysia dapat memastikan bahawa perbezaan tidak lagi membawa kepada pertumpahan darah, ‘’ katanya.
Beliau menegaskan, memang kita tidak mampu mengubah sejarah yang telah berlaku, tetapi kita mempunyai tanggungjawab moral untuk menentukan agar sejarah yang menyakitkan tidak menjadi masa depan generasi seterusnya.
‘’Mengenang Memali bukan bermakna menghidupkan permusuhan, sebaliknya memuliakan nyawa, menegakkan keadilan dan mempertahankan kemanusiaan.
‘’Kenyataannya ialah sesebuah negara tidak dinilai melalui kemampuannya melupakan sejarah yang menyakitkan, tetapi melalui keberaniannya mengambil pengajaran daripadanya. Iktibar abadi Memali ialah perbezaan politik tidak sesekali boleh mengatasi maruah manusia, keadilan dan kesucian nyawa,’’ katanya.
Kata Awang Azman, kenyataan itu penting bagi menilai Memali dalam kerangka kemanusiaan, etika kenegaraan, kedaulatan undang-undang dan pendamaian sejarah, bukan pertikaian kepartian.
‘’Semoga ulang tahun ke-41 ini menjadi titik renungan bersama untuk membina Malaysia yang lebih aman, matang, adil dan bersatu padu,’’ katanya.





