Suri rumah didakwa fitnah rakan ada hubungan sulit, diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

Seorang suri rumah yang didakwa memfitnah rakan lamanya menerusi hantaran di Facebook, diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Shalleh, hari ini selepas pihak pendakwaan mengemukakan rekod rawatan tertuduh, Ang Chiu Ling, 42, yang pernah mendapatkan rawatan sebelum ini.

Tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak itu berdepan tiga pertuduhan, termasuk memfitnah dan melakukan pemerasan terhadap mangsa, seorang pengurus wanita berusia 63 tahun.

Ang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan, namun mahkamah memerintahkannya menjalani pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan keupayaan mentalnya untuk menghadapi prosiding mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Facebook untuk menghantar komunikasi jelik mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Soga, di sini, pada jam 12.06 tengah hari, 13 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memfitnah mangsa menerusi hantaran Facebook dengan mendakwa wanita itu menjalin hubungan sulit dengan pengurus sebuah kilang pengeluar makanan ringan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sengaja menimbulkan ketakutan terhadap mangsa sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM2,000 sebagai balasan untuk memadamkan hantaran berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan bagi kesalahan itu.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis, tidak menghubungi atau berkomunikasi dengan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember depan bagi mendapatkan status pemeriksaan psikiatri tertuduh di Hospital Permai, lapor Harian Metro.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here