MAHKAMAH Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap kerajaan Negeri Sembilan dan dua pihak lain berhubung pembatalan pelantikan mereka.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun memaklumkan bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik keseluruhan saman berkenaan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan di bawah bidang kuasa asal di Mahkamah Persekutuan ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Dalam perintahnya, Roz Mawar menetapkan plaintif perlu membayar kos RM20,000 masing-masing kepada defendan pertama dan kedua, manakala RM8,000 kepada defendan ketiga seperti dipersetujui kedua-dua pihak, lapor BH.
Terdahulu, Mohd Hafarizam memberitahu mahkamah bahawa keputusan menarik balik saman itu dibuat susulan perkembangan semasa, termasuk peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang turut memberi kesan kepada kedudukan keseluruhan Exco terbabit.
Beliau turut memohon supaya penarikan balik saman direkodkan sebagai perintah mahkamah bagi menamatkan prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Roz Mawar membangkitkan persoalan mengenai status peletakan jawatan Menteri Besar yang difahamkan masih belum mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mohd Hafarizam kemudian berpandangan prosiding wajar ditangguhkan sementara menunggu perkenan Tuanku berhubung peletakan jawatan Ismail, namun cadangan itu dibantah pihak defendan.
Peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pihaknya tidak membantah penarikan balik saman itu dengan syarat plaintif tidak diberikan kebebasan untuk memfailkan semula tindakan berkenaan, termasuk melalui semakan kehakiman.
Beliau turut mengesahkan persetujuan berhubung jumlah kos yang perlu dibayar plaintif serta memohon supaya keputusan penarikan balik itu direkodkan sebagai perintah mahkamah.
Peguam Datuk Steven Thiru yang mewakili defendan ketiga, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) turut mengesahkan persetujuan pihaknya terhadap penarikan balik tindakan berkenaan.
Mengulas keputusan itu, Roz Mawar berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana pihak daripada menarik balik tindakan yang telah difailkan, namun pihak yang memulakan prosiding perlu bertanggungjawab terhadap tindakan berkenaan.
Menurutnya, sepanjang tempoh lima bulan sejak saman pemula itu difailkan, mahkamah telah mengendalikan pelbagai permohonan termasuk permohonan defendan ketiga untuk mencelah, selain memberikan tempoh mencukupi bagi memastikan perkara itu dapat diputuskan sewajarnya.
Saman pemula berkenaan difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan serta satu lagi pihak sebagai defendan.
10 plaintif terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Siow Kong Choon (ADUN Chennah) dan Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu).
Turut memfailkan saman ialah Datuk Mohd Asna Amin (ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).





