PHB tuntut Hannah Yeoh beri lima penjelasan berkaitan pengurangan premium tanah KLSCAH

PERSATUAN  Hartanah Bumiputera (PHB) menuntut kerajaan memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Arifuddin Mohamed Shah, berkata keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai keutamaan kerajaan dalam memberikan pertimbangan kewangan kepada sesebuah institusi, sedangkan rakyat berpendapatan rendah yang menghuni Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur berdepan risiko kehilangan tempat tinggal akibat tunggakan sewa.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, berdasarkan laporan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 602 unit PA dan PPR dari Januari hingga 23 September 2026.

”Daripada jumlah itu, 323 unit berjaya dikosongkan, 193 unit ditawarkan kepada pemohon yang layak, manakala 130 unit lagi masih dalam proses penawaran. Tindakan penguatkuasaan berkenaan membabitkan penyewa yang mempunyai tunggakan sewa tinggi, melanggar syarat penyewaan atau tidak lagi memenuhi kelayakan menduduki rumah berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr.Arifuddin menegaskan PHB tidak mempertikaikan keperluan penguatkuasaan undang-undang atau kepentingan memelihara bangunan warisan.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan mengapa pertimbangan kewangan bernilai jutaan ringgit boleh diberikan kepada sesebuah institusi, sedangkan keluarga berpendapatan rendah yang benar-benar tidak berkemampuan masih berdepan risiko kehilangan tempat tinggal.

“Jika kerajaan mampu mempertimbangkan pengurangan premium tanah berjuta-juta ringgit, mengapa pendekatan lebih prihatin tidak dapat diberikan kepada penghuni PPR melalui pengurangan tunggakan, penjadualan semula bayaran sewa atau pengecualian sewa sementara bagi keluarga yang benar-benar memerlukan?” katanya.

Sehubungan itu,  Dr.Arifuddin berkata, PHB mengemukakan lima tuntutan penjelasan kepada Menteri Wilayah Persekutuan bagi memastikan keputusan berkenaan dibuat secara telus dan berlandaskan prinsip kesamarataan.

”Tuntutan pertama membabitkan pendedahan minit kelulusan dan asas penilaian premium tanah, termasuk dokumen pertimbangan yang menjelaskan bagaimana anggaran RM4.67 juta boleh dikurangkan kepada RM1,000 selepas pertukaran kategori kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi,” katanya.

Dr. Arifuddin berkata, kerajaan perlu menjelaskan pihak yang menjalankan penilaian, kaedah digunakan serta justifikasi kewangan dan kepentingan awam yang membolehkan pengurangan premium sebesar itu diluluskan.

”Tuntutan kedua pula berkaitan sekatan terhadap aktiviti komersial dan kutipan sewa daripada pihak ketiga di atas tanah berkenaan. PHB mahu jaminan bahawa kemudahan pengurangan premium tidak disalahgunakan untuk menjana keuntungan komersial atau memperoleh pulangan kewangan melalui penyewaan premis kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, PHB turut mempersoalkan sama ada terdapat jaminan tanah berkenaan akan terus digunakan sepenuhnya bagi tujuan institusi dan pemeliharaan warisan yang menjadi asas kelulusan pengurangan premium.

Bagi tuntutan ketiga, PHB mahu kerajaan menjelaskan sama ada prinsip penilaian dan pengurangan premium yang sama turut terpakai kepada semua institusi serta pertubuhan yang layak di Wilayah Persekutuan.

”Ia termasuk badan kebajikan, rumah ibadat, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan badan pemeliharaan warisan daripada semua kaum serta agama,” katanya.

Menurut Dr. Arifuddin, semua institusi berkenaan perlu diberikan pertimbangan dan kaedah penilaian setara tanpa diskriminasi atau perbezaan layanan.

”PHB turut mempersoalkan sama ada institusi warisan kaum lain, badan kebajikan dan rumah ibadat juga layak dipertimbangkan untuk memperoleh pajakan sehingga 99 tahun dengan kadar premium munasabah dan setara,” katanya.

Tuntutan keempat PHB pula kata beliau, menyentuh justifikasi pemberian tempoh pajakan sehingga 99 tahun, sedangkan difahamkan tanah berkenaan masih mempunyai baki tempoh pajakan sedia ada kira-kira lapan tahun.

”PHB mahu kerajaan menjelaskan asas undang-undang, dasar dan kepentingan awam yang membolehkan tempoh pajakan maksimum itu diberikan, selain sama ada penilaian semula nilai tanah, syarat pembaharuan pajakan dan implikasi kewangan kepada kerajaan dilaksanakan sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Menurut Dr. Arifuddin, tempoh pajakan 99 tahun merupakan komitmen jangka panjang yang mempunyai nilai ekonomi dan strategik, justeru keputusan sedemikian tidak sepatutnya dibuat tanpa penjelasan telus kepada rakyat.

Tuntutan kelima pula membabitkan penjelasan dakwaan bahawa tanah KLSCAH tidak lagi mempunyai nilai komersial selepas pertukaran status kepada institusi.

PHB mempersoalkan sama ada larangan pembangunan komersial bermakna tanah berkenaan kehilangan keseluruhan nilai hartanah, nilai lokasi dan kepentingan strategiknya.

Beliau berkata, PHB mahu kerajaan menjelaskan bagaimana tanah yang mempunyai lokasi strategik di Kuala Lumpur boleh dinilai sehingga menghasilkan premium nominal RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta.

Menurutnya, penilaian berkenaan perlu mengambil kira lokasi, keluasan, tempoh pajakan, sekatan penggunaan serta potensi manfaat ekonomi tanah terbabit.

Dalam pada itu, Dr. Arifuddin menegaskan isu berkenaan bukan bertujuan mempertikaikan hak mana-mana kaum, institusi atau badan warisan untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, isu pokok ialah keadilan, ketelusan dan kesamarataan dalam pengurusan aset serta tanah milik kerajaan.

Beliau berkata, rakyat biasa yang berurusan dengan tanah perlu membayar premium, cukai dan fi serta mematuhi pelbagai syarat, manakala perniagaan kecil berdepan tekanan kos dan peraturan yang semakin ketat untuk terus bertahan.

”Pada masa sama, keluarga berpendapatan rendah pula boleh kehilangan tempat tinggal akibat tunggakan sewa yang tidak mampu dijelaskan,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, PHB menggesa kerajaan membuktikan tiada dua standard dalam memberikan pertimbangan kepada institusi dan rakyat, selain menjelaskan mengapa golongan yang paling memerlukan bantuan masih belum mendapat penyelesaian sewajarnya.

”PHB turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme bantuan khas kepada penghuni PPR yang benar-benar mengalami kesusahan kewangan, termasuk penstrukturan semula tunggakan, pelan pembayaran berperingkat dan pengecualian sementara berdasarkan penilaian kelayakan,” katanya.

Dr.Arifuddin menegaskan PHB menuntut ketelusan, bukannya layanan istimewa, selain mahukan keadilan dan bukannya diskriminasi dalam setiap keputusan pentadbiran tanah kerajaan.

“Jika RM4.67 juta boleh dipertimbangkan menjadi RM1,000 untuk sebuah institusi, apakah pula pertimbangan kerajaan terhadap rakyat biasa yang hanya meminta peluang untuk terus memiliki tempat berteduh?” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here