SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan dibuat ahli perniagaan, Bachar Kiwan yang dilaporkan Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan itu dilakukan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya penelitian menyeluruh dibuat bagi menentukan tindakan dan langkah sewajarnya.
Menurut kenyataan itu, pertemuan pegawai SPRM dengan Bachar Kiwan sebelum ini adalah sebahagian daripada prosedur biasa siasatan untuk meneliti serta mengesahkan maklumat berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Setiap perbincangan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ia tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status beliau,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menjelaskan Bachar Kiwan tidak dikategorikan sebagai individu yang mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, perkara yang telah dimaklumkan kepadanya ketika pertemuan pada 2 Disember 2025.
Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM menegaskan dokumen yang dibangkitkan adalah draf terma daripada pihak ahli perniagaan itu dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh suruhanjaya berkenaan.
“Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, laporan berkenaan merupakan draf terma daripada pihak ahli perniagaan terbabit dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh Suruhanjaya ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menegaskan pihaknya tidak terbabit dalam isu pelantikan peguam kerana perkara itu di luar bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.
Katanya, hak melantik peguam adalah keputusan individu terbabit, manakala penarikan diri firma guaman yang terlibat juga merupakan keputusan firma itu sendiri.
SPRM turut memaklumkan pihaknya memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas berjaya memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan pihak berkuasa Kuwait.
“Sehubungan itu, maklumat yang ditawarkan oleh beliau tidak lagi menjadi keperluan utama kepada siasatan,” katanya.
Sementara itu, SPRM memaklumkan ahli perniagaan, Albert Tei hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi membuat aduan berhubung isu berkenaan.
Menurut SPRM, pihaknya turut merakam percakapan Albert bagi mendapatkan maklumat berkaitan aduan yang dikemukakan.
SPRM menegaskan pihaknya terbuka menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguat kuasa lain bagi memastikan semua dakwaan diteliti secara telus serta berlandaskan undang-undang.





