SEORANG lelaki dipercayai penjenayah maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di sebuah kawasan perumahan di Ulu Kinta, Ipoh, awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan kejadian itu.
Sidang media khas berhubung insiden berkenaan dijadualkan berlangsung kira-kira jam 2.45 petang ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Sidang media itu difahamkan akan dikendalikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar.
Tinjauan di lokasi mendapati beberapa kenderaan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di kawasan kejadian.
Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan menghampiri lokasi yang dipasang garisan polis dengan radius kawalan kira-kira 100 meter.
Seorang penduduk berkata, dia terdengar beberapa bunyi letupan sebelum menyangka ia hanya bunyi mercun.
“Saya ada dengar beberapa letupan tapi saya ingat bunyi mercun,” katanya ringkas ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Harian Metro.





