SEORANG lelaki berusia 20-an maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya merempuh belakang sebuah lori kontena yang diparkir di tepi jalan di kawasan Perindustrian Alam Awana, Puncak Alam, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.14 pagi itu, mangsa ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di kepala.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 8.28 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Myvi dan lori kontena yang diparkir di tepi jalan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah di kepala.
“Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.





