TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam sektor perladangan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memastikan manfaatnya tidak membebankan golongan pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata setiap data pekebun kecil perlu dilindungi dan sistem yang dibangunkan hendaklah telus dan tidak membebankan mereka.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti AI, dron dan automasi berupaya membantu meramalkan hasil, menjimatkan penggunaan baja, memantau guna tanah serta meningkatkan kecekapan pengurusan rantaian bekalan.
“Manfaatnya sudah mula kita lihat di ladang. Sebagai contoh, melalui Project Infinity, SD Guthrie kini menggunakan 444 mesin bagi kerja-kerja seperti pembajaan dan kawalan rumpai. Keperluan pekerja bagi kerja-kerja ini berkurang sebanyak 29 peratus, tanpa sebarang pemberhentian pekerja.
“Lebih penting, seramai 503 anak tempatan telah dilatih sebagai pakar mesin dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya 2026 ‘ESG Summit’ di Putrajaya hari ini.
Noraini berkata dron penuaian autonomi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan turut mencatatkan kadar kejayaan 90 peratus dalam ujian terkawal.
“Ini inovasi anak tempatan yang wajar kita banggakan. Namun, contoh ini datang daripada sebuah syarikat besar. Cabaran kita ialah memastikan manfaat yang sama turut sampai kepada pekebun kecil,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi industri perladangan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan tiga bentuk kerjasama, termasuk penyelidikan bersama antara universiti, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia dan pihak industri, khususnya dalam aspek pengukuran, kebolehjejakan serta pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kedua, pembangunan bakat dalam bidang ESG, AI dan sains data, termasuk latihan yang mudah diakses oleh pekebun kecil, koperasi dan perusahaan kecil.
“Ketiga, input dasar yang berasaskan bukti agar dapatan penyelidikan dapat diterjemahkan kepada langkah praktikal,” katanya.





