SEORANG penghuni pusat jagaan pesakit mental didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lain di pusat jagaan sama, awal bulan ini.
Tertuduh, Riduwan Mat, 51, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohd Zulkiflee Zainudin, 42, di sebuah pusat jagaan di Taman Kempas, antara jam 5.15 hingga 5.30 petang, 9 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan, jika tidak dikenakan hukuman mati, sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan memohon supaya tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia, Ulu Kinta.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri dan menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan perubatan, bedah siasat, kimia dan forensik.
Media sebelum ini melaporkan seorang penghuni pusat jagaan dan rawatan pesakit mental yang juga pesakit skizofrenia ditemukan meninggal dunia, dipercayai dibunuh di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada mangsa.





