SEBANYAK 193 unit alat ganti kenderaan berat pelbagai jenis bernilai RM26,165 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian IGB, Ipoh, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu dilakukan menerusi operasi membanteras penjualan dan pengedaran barangan tiruan susulan aduan serta maklumat daripada wakil pemilik cap dagangan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan pelbagai alat ganti kenderaan berat yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.
“Wakil syarikat pemilik cap dagangan turut melakukan pengesahan awal terhadap barangan terbabit sebelum tindakan sitaan dilakukan.
“Kesemua barangan bersama dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM26,165,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki memiliki barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar bagi tujuan perdagangan atau pengilangan.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang, manakala bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM30,000 bagi setiap barang boleh dikenakan.
Kamalludin berkata, pihaknya memandang serius usaha membanteras penjualan barangan tiruan bagi melindungi hak pengguna serta pemilik cap dagangan.
Katanya, pemantauan dan risikan akan terus dipertingkatkan terhadap premis yang menjual barangan berjenama bagi membendung kegiatan itu serta meningkatkan keyakinan pelabur asing, khususnya di Perak.





