LELAKI yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit, Kuala Lumpur, awal pagi semalam, dipercayai aktif melakukan jenayah samun sejak awal Mei lalu.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu turut dikesan menggunakan teksi yang dilarikan di Gombak, Selangor, pada Oktober lalu bagi menyamun penumpang wanita warga asing dan lelaki warga emas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai bersubahat dengan suspek utama berkenaan.
“Polis percaya suspek turut menggunakan kenderaan lain untuk melakukan jenayah samun. Namun, siasatan terperinci masih dilakukan.
“Polis KL yakin dapat mengesan rangkaian atau individu yang bersekongkol dengan suspek utama ini,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di Alam Damai, hari ini.
Beliau berkata, terdapat sembilan kes samun yang dikaitkan dengan suspek selepas mangsa berjaya mengecamnya.
Terdahulu, Fadil mengesahkan suspek terbabit dalam 24 kes samun yang menyasarkan wanita warga asing, lelaki warga emas serta individu yang dianggap lemah.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, suspek bersenjata api bertindak melepaskan tembakan ke arah polis ketika serbuan dilakukan di sebuah bilik di kediaman rumah kedai di Chow Kit.
Polis kemudian melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri sebelum suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.





