AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin menegaskan belum layak memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan susulan spekulasi namanya antara calon menggantikan Ismail Lasim.
Beliau berkata, hubungan rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan alasan untuk mengaitkan dirinya dengan jawatan itu kerana semua wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai hubungan yang sama dengan pemimpin berkenaan.
“Saya tidak layak jadi Menteri Besar.
“Kalau nama saya disebut kerana rapat dengan Presiden UMNO, saya nak jelaskan bahawa semua wakil rakyat UMNO dan BN sangat rapat dengan Presiden.
“Kami sentiasa berjumpa dan berbincang. Ayahanda Presiden umpama ayah kepada kami,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).
Selain Asna, Ketua UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO turut dikaitkan dengan spekulasi berkenaan.
Kemelut politik negeri itu kembali menjadi perhatian selepas Setiausaha Agung BN mengesahkan parti berkenaan menerima salinan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun? yang didakwa dihantar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pihak istana menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Istana turut memaklumkan kesahihan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Menteri Besar itu masih belum disahkan.
Terbaharu, Ismail dilaporkan dibenarkan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan dijangka menghadap Tuanku Muhriz esok bagi membincangkan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kedudukan 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.





