POLIS Kuala Lumpur mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan warga asing, khususnya individu dari Afrika, untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti sosial bagi memastikan ketenteraman awam serta masyarakat setempat tidak terjejas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lokasi terbabit termasuk kawasan kediaman dan tempat hiburan yang sentiasa berada dalam pemantauan pihaknya.
Menurutnya, perbezaan budaya dan gaya hidup sosial dalam kalangan warga asing, termasuk dari Afrika, perlu diberi perhatian supaya tidak menimbulkan masalah keselamatan dan gangguan kepada masyarakat.
“Kita (Polis KL) mengenal pasti lokasi-lokasi tertentu yang menjadi tumpuan bukan hanya warga Afrika, khususnya dari Nigeria ini, malah lokasi yang turut menjadi tumpuan warga asing yang lain.
“Justeru, orang ramai dan masyarakat setempat digalakkan menyalurkan maklumat termasuk rakaman video kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya terdapat sebarang elemen kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di Alam Damai, Cheras, hari ini.
Fadil berkata, isu sosial membabitkan warga asing termasuk individu dari Afrika turut menjadi sasaran beberapa operasi bersepadu yang akan dilaksanakan Polis Kuala Lumpur bersama agensi penguat kuasa lain.
Katanya, operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan mengikut keperluan dan kesalahan yang dikenal pasti tanpa mengira kewarganegaraan individu terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan turut merangkumi kesalahan imigresen dan isu sosial yang dikenal pasti dari semasa ke semasa, namun pembanterasan jenayah tetap menjadi keutamaan polis.
“Operasi yang dijalankan polis adalah berterusan dan tidak tertakluk kepada masa tertentu termasuk dalam menangani isu sosial. Kita akan mengambil tindakan berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti tanpa mengira sama ada membabitkan warga Afrika atau warga asing lain,” katanya.
Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai kewujudan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) atau Vikings di Malaysia.
Dakwaan mengenai kumpulan itu mendapat perhatian susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa organisasi berkenaan bertapak di negara ini, selain mendakwa sebahagian anggotanya memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut sebagai ahli.





