SEORANG lelaki berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Miri hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan membakar sebuah bengkel kenderaan sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM35,000.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian membabitkan bengkel KT Car Air-Conditioning di Jalan Pasar Lutong, di sini.
Menurutnya, pemilik bengkel pada awalnya tidak mengesyaki kebakaran di premis berkenaan berpunca daripada perbuatan khianat.
Bagaimanapun, kira-kira jam 7.30 malam pada 7 November lalu, pemilik meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati tertuduh sengaja membakar sesuatu di bahagian belakang bengkel berkenaan.
“Tindakan tertuduh menyebabkan api merebak ke bahagian dalam bengkel dan memusnahkan harta benda dengan anggaran kerugian sebanyak RM35,000,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan membawa kepada pendakwaan terhadap tertuduh sebelum Mahkamah Sesyen Miri menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan itu.




