SEORANG lelaki warga Nepal dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi Klang hari ini selepas didapati bersalah menikam seorang lelaki hingga maut menggunakan gunting dalam kejadian pergaduhan di Pelabuhan Klang, tiga tahun lalu.
Hakim Norliza Othman turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh, Saravanan Periyasamy, atas kesalahan mencederakan seorang wanita berusia 22 tahun yang ditikam pada tangan ketika cuba melindungi mangsa.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, lapor Harian Metro.
Menerusi alasan penghakiman bertarikh 9 Oktober lalu, Norliza berkata, pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian dan tidak dapat menafikan bukti bahawa dia merupakan individu yang memulakan serangan.
Beliau turut menolak dakwaan tertuduh bahawa perbuatannya dilakukan bagi mempertahankan diri.
Menurutnya, kecederaan dialami mangsa, R Sumeen, 23, dilakukan dengan sengaja dan membabitkan organ penting, sekali gus menunjukkan niat tertuduh untuk menyebabkan kecederaan parah.
Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan berusia 52 tahun ketika kejadian berlaku.
“Tertuduh wajar diberi peluang untuk insaf dan kembali ke pangkuan keluarganya di Nepal selepas selesai menjalani hukuman.
“Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia harus dinafikan peluang untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Mahkamah turut mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan memandangkan usianya melebihi 50 tahun ketika kesalahan dilakukan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 malam, 8 Mei 2023, di sebuah rumah pangsa di Taman Chi Liung, Pandamaran.





