POLIS mengesahkan tiada unsur jenayah atau buli dikesan dalam siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar yang ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sekolah itu semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berkenaan tidak menunjukkan sebarang petunjuk berlakunya perbuatan jenayah atau buli terhadap pelajar terbabit.
Beliau berkata, polis turut merakam percakapan enam pelajar dan lima guru yang dipercayai dapat membantu siasatan, selain mendapatkan keterangan ibu bapa mangsa.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping kira-kira jam 1 petang tadi mendapati terdapat kesan jerutan pada leher sebagai punca kematian pelajar berkenaan.
Menurutnya, semakan rakaman CCTV mendapati pelajar itu meninggal dunia kira-kira jam 10.35 pagi di tandas sebuah bangunan sekolah sebelum ditemukan seorang pelajar lain pada jam 2.45 petang.
“Pemeriksaan dijalankan turut mengesahkan tiada kesan kecederaan lain ditemukan pada tubuh pelajar terbabit.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini, lapor Sinar Harian.
Mohd Alwi berkata, siasatan turut mendapati pelajar berkenaan ditempatkan di sebuah bilik sakit di sekolah itu sejak Isnin lalu kerana kurang sihat.
“Bilik itu disediakan untuk pelajar yang kurang sihat dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Bilik itu dilengkapi CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan mereka.
“Penelitian terhadap tiga siri CCTV yang diterima di bilik berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah atau buli,” katanya.
Sebelum ini, bapa pelajar itu memaklumkan rutin persekolahan dan kehidupan anaknya di asrama berjalan seperti biasa, malah mangsa tidak pernah berkongsi sebarang masalah berkaitan kehidupannya di sekolah berkenaan.
Pelajar yang mula bersekolah di SBP itu sejak Tingkatan Satu berkenaan dijadualkan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini.





