Exco Pendidikan Perak minta laporan penuh insiden kematian pelajar SBP

KERAJAAN negeri Perak meminta laporan penuh disediakan berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, permintaan itu dikemukakan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian berkenaan.

Beliau dimaklumkan mengenai insiden itu ketika menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah di Seri Iskandar kira-kira jam 5 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya meninggalkan mesyuarat dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri situasi yang berlaku.

“Pihak sekolah, PPD dan JPN diminta menyediakan satu laporan penuh mengenai kejadian itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mewakili kerajaan negeri, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang.

Sementara itu, JPN Perak mengesahkan kematian pelajar berkenaan dan mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

Jabatan itu dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial diselaraskan bagi membantu murid, guru dan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

JPN Perak turut meminta semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial.

Terdahulu, pelajar lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan sekolah kira-kira jam 6 petang. Mayatnya dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here