Wan Ahmad Dahlan akhiri tugas selepas 31 tahun berbakti kepada negara

SELEPAS lebih tiga dekad berkhidmat dalam sektor awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz secara rasmi menamatkan kerjayanya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), hari ini.

Beliau yang memulakan perkhidmatan pada 25 Januari 1995 mengakhiri tugas menerusi Majlis Lambaian Bakti di Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya termasuk mengetik keluar kad perakam waktu buat kali terakhir.

Sepanjang menerajui JPA, pendekatan kepemimpinan yang menekankan kerjasama, keterbukaan dan tanggungjawab bersama menjadi antara prinsip yang sering diterapkan kepada warga jabatan itu.

Ungkapan “bekerjalah bersama saya, bukan untuk saya” menjadi pegangan beliau dalam membentuk budaya kerja berpasukan, termasuk menggalakkan pegawai berbincang secara langsung, bertukar pandangan dan mencari penyelesaian secara bersama.

Dalam sidang media terakhirnya, Wan Ahmad Dahlan berkata, perkhidmatan awam negara perlu terus meningkatkan keupayaan serta mutu penyampaian sehingga mampu mencapai standard negara maju seperti Amerika Syarikat, negara Eropah dan Singapura.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan landasan yang sedang dilalui ketika ini, selain iltizam dan keazaman tinggi dalam kalangan penjawat awam.

“Apa pun yang kita laksanakan, dasar-dasar yang kita laksanakan mestilah berpaksikan kepada rakyat.

“Biarlah apa yang kita laksanakan bukan tinggal dasar di kementerian atau di jabatan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat di luar sana. Itu yang paling penting,” katanya, lapor BH.

Mengimbas pencapaian sepanjang menerajui JPA, beliau menyifatkan kejayaan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersama pasukan jabatan itu sebagai antara perkara paling memberikan kepuasan dalam kerjayanya.

Katanya, pelaksanaan sistem saraan baharu itu bukan tugas mudah kerana memerlukan keseimbangan antara kebajikan dan tuntutan penjawat awam dengan kemampuan kewangan kerajaan.

“Namun, dengan kerjasama semua pihak termasuk sokongan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) yang mewakili persatuan dan kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam, perkara itu dapat kita realisasikan.

“Sekarang ini penjawat awam sudah menikmati apa yang digariskan dalam SSPA,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) sebagai satu lagi pencapaian penting sepanjang tempoh kepemimpinannya.

Akta itu menghendaki kementerian dan jabatan menilai semula akta, prosedur operasi standard (SOP) serta prosedur sedia ada bagi memastikan semuanya kekal relevan dengan keperluan semasa.

Hasil penilaian berkenaan juga perlu dibentangkan di Parlimen setiap tiga tahun bagi menunjukkan perubahan yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk menerajui kira-kira 1.5 juta penjawat awam di negara ini.

Beliau mengakui tanggungjawab itu bukan mudah memandangkan setiap skim perkhidmatan mempunyai keperluan dan tuntutan tersendiri, namun kekuatan pasukan JPA membolehkan pelbagai cabaran ditangani.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Wan Ahmad Dahlan atas segala jasa, khidmat bakti dan sumbangan beliau kepada negara.

Menurut Anwar, komitmen beliau dalam memperkukuh sistem penyampaian kerajaan, memartabatkan profesionalisme penjawat awam serta menggerakkan agenda reformasi perkhidmatan awam amat dihargai.
“Semoga segala jasa dan sumbangan beliau terus menjadi inspirasi kepada seluruh penjawat awam, dan saya mendoakan kesejahteraan serta kejayaan beliau dalam apa jua lapangan mendatang, insya-Allah,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, JPA dalam kenyataan berasingan turut merakamkan penghargaan atas khidmat bakti dan sumbangan Wan Ahmad Dahlan kepada negara sepanjang lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam.

Warga jabatan itu turut menghargai kepercayaan yang diberikan beliau kepada mereka untuk menyumbangkan pandangan, memikul tanggungjawab dan menjayakan pelbagai pembaharuan secara bersama.

Semangat kerja berpasukan yang dipupuk sepanjang kepemimpinannya diharap terus menjadi pegangan warga JPA dalam usaha melangkaui kebiasaan serta memudahkan urusan rakyat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here