SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan seorang lelaki warga China yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur, semalam.
Penyerahan itu dilakukan susulan kerjasama rentas agensi antara SPRM dengan National Commission of Supervision (NCS) Republik Rakyat China.

SPRM dalam kenyataan berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an yang bekerja sendiri itu ditahan pada 17 November lalu kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Katanya, penahanan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diterima SPRM berhubung dakwaan lelaki terbabit memberikan wang rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan supaya tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadapnya.
“Kes itu dikaitkan dengan dakwaan penipuan dan pengubahan wang haram.
“Semakan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan berada dalam senarai individu dikehendaki NCS, selain pasport miliknya sudah dibatalkan oleh kerajaan China,” kata kenyataan itu hari ini.
Susulan itu, SPRM merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan China sebelum lelaki terbabit diserahkan kepada pihak kedutaan semalam bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.





