DUA beranak dipercayai ibu dan anak ditemukan rentung selepas sebuah rumah di Kampung Parit Raja, Batu Pahat musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.40 pagi sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.50 pagi.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohamad Shamim Mohamed Salikin berkata, sebanyak 16 anggota bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 x 70 kaki (kira-kira 12 x 21 meter).
“Tindakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan aliran pemadaman dengan sumber air daripada tangki pam jentera BBP Ayer Hitam dan BBP Penggaram.
“Kebakaran mengakibatkan kemusnahan 70 peratus struktur rumah. Dua orang mangsa ditemukan rentung di bilik utama rumah terbabit.
“Mangsa dipercayai ibu dan anak, namun status jantina dan umur masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi selamat sebelum menyerahkan kes kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.





