SEORANG penjawat awam ditahan kerana disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) pada Selasa lalu.
Tangkapan itu dilakukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang bertugas di kaunter Imigresen, Balai Ketibaan KLIA 2.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 pagi, 17 November lalu.
Katanya, laporan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai AKPS yang bertugas ketika kejadian.
“Pihak IPD KLIA mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu jam 1.18 pagi pada 17 November lalu.
“Laporan itu dibuat seorang pegawai AKPS yang bertugas ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut peruntukan undang-undang berbeza.
“Siasatan terhadap penjawat awam itu dijalankan mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Wanita warga asing berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya.





