MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di Seremban pada jam 10.17 pagi ini bagi menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Ketibaan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menyusul keberangkatan tiba Tuanku Muhriz di istana berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Turut hadir, tiga Undang Luak Negeri Sembilan iaitu Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi, lapor Bernama.
Ismail difahamkan menghadap baginda bagi membincangkan perkembangan semasa dan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.
Pada Isnin lalu, Ismail, 67, dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail dengan sesi berkenaan berlangsung dari jam 5 petang hingga 6.30 petang.





