KERAJAAN negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen mereka dalam perkhidmatan awam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan membabitkan peruntukan keseluruhan RM58 juta itu akan dibayar secara dua fasa iaitu pada Januari dan Jun 2027.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Kuantan hari ini, lapor Sinar Harian.
Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Khas Perayaan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Wan Rosdy berkata, bantuan khas perayaan berkenaan membabitkan peruntukan sebanyak RM12 juta.
“Semoga penghargaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, memelihara integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang Darul Makmur,” katanya.





