PERIKATAN Nasional (PN) tidak seharusnya menjadi satu-satunya pihak yang diminta berlapang dada dalam usaha membina kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN), sebaliknya kedua-dua gabungan perlu mengamalkan prinsip kesetaraan dan saling menghormati.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang rundingan antara kedua-dua gabungan perlu mengambil kira kepentingan bersama dan tidak hanya memenuhi kehendak sebelah pihak.
“Jangan minta kita sahaja dalam Perikatan Nasional untuk berjiwa besar.
“Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar,” katanya ketika berucap pada Sambutan 70 Tahun Pas Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) malam tadi.
Intipati ucapan beliau dikongsi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Kenyataan itu hadir susulan kejayaan kerjasama BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu apabila kedua-dua gabungan memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing dengan BN memenangi 21 kerusi dan PN tiga kerusi.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas menyifatkan PN sebagai ‘rakan strategik baharu’, menjelaskan bahawa BN belum mempunyai perancangan untuk memperluaskan kerjasama itu ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ahmad Zahid berkata, perbincangan mengenai perkara berkenaan akan diadakan apabila tiba masanya.
Pendirian itu berbeza dengan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang sebelum ini menggesa rundingan antara BN dan PN dimulakan segera, khususnya berhubung pembahagian kerusi serta strategi menghadapi PRU-16.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pengalaman kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka membuktikan pentingnya semua pihak berlapang dada bagi membentuk muafakat yang kukuh.
Beliau menegaskan rundingan politik tidak seharusnya meletakkan mana-mana gabungan sebagai pihak lebih dominan kerana semua pihak perlu dilayan sebagai rakan setara.
“Tidak ada abang long. Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita runding, tidak ada istilah abang long dalam perbincangan dan perundingan.
“Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya prinsip dan peraturan rundingan dipersetujui bersama serta dilaksanakan secara konsisten, bukannya diubah mengikut kepentingan pihak tertentu.
Katanya, kegagalan mencapai kesepakatan boleh membawa kesan politik lebih besar, terutama jika berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRU-16.
Menurut Ahmad Samsuri, penyelarasan kerusi dan kerjasama yang lebih tersusun mampu meningkatkan peluang memenangi kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.
Beliau berpandangan beberapa kerusi Parlimen juga berpotensi dirampas semula sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya mengetepikan kepentingan peribadi serta kedudukan masing-masing demi mencapai matlamat politik bersama.
“Kerana menjadi calon di mana-mana kerusi bukan menjadi objektif menyertai parti politik,” katanya.





