PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan tindakan Malaysia menyambut pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing pada 8 Oktober lalu susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati negara itu bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik Rohingya.
Gesaan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempersoalkan pendekatan diplomatik Malaysia terhadap kepimpinan tentera Myanmar selepas keputusan bersejarah mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Beliau berkata, keputusan ICJ pada 19 November lalu merupakan kali pertama mahkamah berkenaan mendapati sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid menerusi penghakiman merit kes.
“Buat pertama kali, mahkamah tertinggi dunia memutuskan sebuah negara bertanggungjawab kerana melakukan genosid dalam penghakiman mengenai merit kes.
“Ini kemenangan amat besar bagi Rohingya, khususnya mangsa terselamat yang hampir sedekad menuntut pengiktirafan, akauntabiliti dan keadilan.
“Keputusan ini turut membuktikan kewajaran tindakan Gambia yang mengambil langkah luar biasa membawa Myanmar ke ICJ pada 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.
Mahkamah mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraan pada 2017, termasuk pembunuhan, keganasan seksual dan tindakan lain dengan niat memusnahkan sebahagian besar kumpulan etnik berkenaan.
Berdasarkan bukti yang dikemukakan, kira-kira 10,000 Rohingya terbunuh dalam operasi itu, selain kampung mereka dimusnahkan dan orang awam, termasuk kanak-kanak, menjadi mangsa keganasan.
Untuk rekod, Gambia memfailkan kes terhadap Myanmar pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), susulan tindakan ketenteraan terhadap masyarakat Rohingya.
Pada 23 Januari 2020, ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah sementara bagi mencegah perbuatan genosid serta memelihara bukti berkaitan dakwaan berkenaan sebelum menolak bantahan awal Myanmar terhadap bidang kuasa mahkamah itu pada 2022.
Perbicaraan merit kes berlangsung dari 12 hingga 29 Januari 2026 sebelum mahkamah menyampaikan penghakimannya pada 19 November lalu.
ICJ turut mengarahkan Myanmar mengambil langkah menyiasat dan mendakwa individu yang disyaki bertanggungjawab, menjamin kejadian seumpama itu tidak berulang serta membenarkan kepulangan pelarian Rohingya secara selamat, sukarela dan bermaruah, selain penyatuan semula keluarga yang terpisah.
Myanmar juga diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa, manakala jumlah dan kaedah pembayaran perlu ditentukan dalam prosiding seterusnya. Negara itu turut diberi tempoh dua tahun untuk mengemukakan laporan kepada mahkamah berhubung langkah pemulihan dan pampasan berkenaan.
Santiago berkata, keputusan itu sepatutnya menjadi titik perubahan kepada ASEAN dalam menangani krisis Myanmar, khususnya dengan memastikan sebarang usaha memulihkan perwakilan politik negara itu tidak dilihat sebagai pemberian legitimasi kepada junta tentera.
Beliau mempersoalkan usaha Malaysia membantu mengembalikan perwakilan politik penuh Myanmar dalam ASEAN sedangkan junta masih berdepan persoalan akauntabiliti terhadap tindakan keganasan terhadap Rohingya.
Untuk rekod, ASEAN mengehadkan penyertaan Myanmar kepada wakil bukan politik dalam sidang kemuncak dan mesyuarat menteri luar susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.
Keputusan itu dibuat selepas junta gagal menunjukkan kemajuan bermakna dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN yang antara lain menuntut penghentian keganasan, dialog antara pihak berkepentingan dan penyampaian bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini mempertahankan pendekatan penglibatan langsung Malaysia dengan Myanmar, termasuk menerima kunjungan Min Aung Hlaing pada Oktober lalu, sebagai usaha mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap krisis negara itu.
“Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN, 16 November lalu.
Mengulas lanjut, Santiago berkata, pemulihan perwakilan politik penuh Myanmar dalam ASEAN tidak seharusnya diberikan sebagai ganjaran diplomatik, sebaliknya perlu bergantung pada perubahan politik dan institusi yang nyata, penghentian keganasan serta pematuhan terhadap kewajipan antarabangsa.
“Memberikan legitimasi sebelum akauntabiliti bukan diplomasi, tetapi tindakan mengalah,” katanya.
Beliau turut menggesa ASEAN mewujudkan mekanisme pemantauan yang boleh dipercayai dengan penglibatan pakar hak asasi manusia bebas bagi menilai pematuhan Myanmar terhadap keputusan ICJ.
Katanya, negara anggota ASEAN juga perlu menggunakan pengaruh diplomatik dan politik untuk mendesak Myanmar melaksanakan arahan mahkamah, termasuk mempertimbangkan tindakan bersama terhadap pemimpin tentera serta pihak yang menyokong kewangan junta.
“ICJ telah bersuara. Kini dunia perlu bertindak,” katanya.





