Keputusan kekalkan Ismail cabar kewibawaan kepimpinan UMNO

KEPUTUSAN Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengekalkan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar boleh dilihat sebagai perkembangan politik yang mencabar kewibawaan kepimpinan UMNO, khususnya dalam soal pengurusan peralihan kuasa di negeri itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, perkara itu berlaku selepas kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan Ismail dan menyatakan hasrat mencadangkan calon Menteri Besar baharu.

Dr Ikmal Hisham Md Tah

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan proses pertukaran kepimpinan itu tidak berlaku seperti yang diumumkan.

“Apa yang lebih menarik ialah penjelasan Ismail sendiri bahawa beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya dikemukakan kepada Tuanku Muhriz.

“Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai komunikasi, ketelusan dan proses membuat keputusan dalam kepimpinan parti. Sekiranya benar surat berkenaan dikemukakan tanpa persetujuan beliau, ia merupakan isu serius yang perlu dijelaskan pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, dari sudut perlembagaan, perlu dibezakan antara keputusan politik parti dengan kedudukan seseorang Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri.

Katanya, kepimpinan parti mempunyai pengaruh politik terhadap pemilihan Menteri Besar, namun keputusan parti tidak semestinya membawa kepada pertukaran jawatan secara automatik.

” Kedudukan Menteri Besar turut tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, termasuk persoalan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Bagaimanapun, Ikmal Hisham berkata, perkembangan itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertentangan antara institusi istana dengan UMNO.

Sebaliknya, keputusan mengekalkan Ismail juga boleh difahami dalam konteks keperluan memastikan kesinambungan pentadbiran negeri ketika krisis perlembagaan masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Beliau berkata, persoalan lebih penting selepas ini ialah sama ada Ismail masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bagaimana hubungan beliau dengan kepimpinan UMNO akan diuruskan serta sejauh mana kerajaan negeri dapat kembali berfungsi menerusi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan persidangan DUN.

“Kesimpulannya, dari sudut politik, perkembangan ini boleh menjejaskan persepsi terhadap keupayaan kepimpinan UMNO menguruskan peralihan kuasa.

“Namun, dari sudut perlembagaan, keutamaan mestilah diberikan kepada kesahan proses, prinsip kerajaan yang bertanggungjawab kepada DUN dan kestabilan pentadbiran negeri. Kedua-dua dimensi ini perlu dinilai secara berasingan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here