SERAMAI tujuh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6 kilogram (kg) dadah disyaki syabu di Pangkalan Udara Subang, Selasa lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, mereka terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.
Beliau menegaskan TUDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pembabitan anggotanya dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya yang menggunakan pesawat serta aset ketenteraan.
“TUDM sudah mengambil tindakan segera susulan penemuan itu, termasuk menahan individu yang disyaki terbabit, memaklumkan kepada pihak polis serta menyerahkan mereka kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk siasatan lanjut.
“TUDM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dua anggota TUDM masing-masing berpangkat koperal berusia 28 tahun dan pegawai waran II berusia 48 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas kedua-duanya ditahan dalam operasi polis awal pagi tadi.
Penahanan itu dipercayai berkaitan sindiket pengedaran 96.64kg dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta yang turut membabitkan lima pegawai TUDM dan enam orang awam.
Mengulas penemuan dadah itu, Muhamad Norazlan berkata, bungkusan berkenaan dikesan anggota TUDM di bangunan Seksyen Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati bagasi mencurigakan itu tidak mempunyai pelekat saringan keselamatan yang menandakan ia sudah melalui pemeriksaan diwajibkan.
“Pemeriksaan lanjut oleh anggota Pasukan Pertahanan Darat TUDM (Handau) menggunakan mesin pengimbas berjaya mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun dengan kemas di dalam bagasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan anggota TUDM mengesan kejadian itu, membuat tangkapan awal, melaporkannya kepada pihak polis serta menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa mencerminkan komitmen pasukan itu dalam memastikan kegiatan sedemikian tidak berterusan.





