SEBANYAK tujuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu dijangka mengisi barisan pentadbiran Negeri Sembilan, berbanding 10 anggota sebelum ini, susulan perkembangan kemelut politik dan pentadbiran negeri itu.
Antara nama yang dikatakan bakal menganggotai barisan Exco baharu ialah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO iaitu ADUN Pilah, S Leza Md Yasin; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.
Turut disenaraikan ialah ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee, ADUN Bagan Pinang daripada Pas, Abdul Fatah Zakaria dan ADUN Gemas daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan), Ridzuan Ahmad.
Sumber berkata, majlis angkat sumpah barisan Exco baharu itu dijadual berlangsung di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, Ahad ini, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, senarai berkenaan belum mendapat pengesahan rasmi dan tertakluk kepada perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban hari ini memaklumkan pelantikan Exco baharu akan dibuat dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
“Saya tak boleh kata putus, terpulang kepada Tuanku. Tapi ini salah satu kaedah yang mesti kita buat supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat bergerak,” katanya.





