TUDM dekati komuniti Orang Asli, bawa perkhidmatan kesihatan terus ke lapangan

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Institut Perubatan Penerbangan (IPP) memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat menerusi pelaksanaan Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) yang memberi fokus kepada kesejahteraan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan kesihatan dan pergigian.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah dilaksanakan menerusi Medical Civilian Action Programme (MEDCAP) dan Dental Civilian Action Programme (DENCAP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Klang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang serta pihak sekolah.

Program berkenaan menyasarkan komuniti Kampung Orang Asli Sungai Pinang selain warga sekolah dengan pelbagai pengisian termasuk pemeriksaan kesihatan, rawatan dan pemeriksaan pergigian, ceramah kesihatan, pendidikan pergigian serta aktiviti santai bersama komuniti.

Anggota Institut Perubatan Penerbangan (IPP) TUDM bersama pegawai daripada PPD Klang dan JAKOA telah menjayakan pemeriksaan kesihatan (MEDCAP) di SMK Pulau Indah.

Ketua Bahagian Aeromedical Institut Perubatan Penerbangan TUDM, Kolonel Dr. Mohd Izwan Hussin berkata, program itu berjaya mencapai sasaran penyertaan hampir 200 orang terdiri daripada murid sekolah dan komuniti Orang Asli.

Menurutnya, seramai 60 pegawai dan anggota IPP TUDM bersama wakil agensi terlibat digerakkan bagi menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

“Selain pemeriksaan kesihatan dan pergigian, kita turut membawa doktor, pembantu farmasi, ambulans serta mengadakan pameran dan pendidikan kesihatan.

“Objektif utama ialah mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat serta memberi kesedaran bahawa penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian tanpa mengira latar belakang komuniti,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan proaktif turut digunakan bagi memastikan penyertaan komuniti Orang Asli termasuk menyediakan pengangkutan dan turun sendiri ke kawasan penempatan untuk mengajak penduduk hadir.

Pemeriksaan dan rawatan pergigian (DENCAP).

Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, kebanyakan isu kesihatan yang dikenal pasti adalah masalah kesihatan biasa termasuk sakit gigi, sakit kulit serta beberapa kes tekanan darah tinggi.

“Komuniti Orang Asli ini sebenarnya menerima program seperti ini, tetapi mereka agak pemalu dan kurang berkongsi masalah kesihatan.

“Jadi, disini kita mahu memastikan tidak ada golongan yang tercicir daripada mendapat akses kepada pemeriksaan dan pendidikan kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Pulau Indah, Port Klang.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Pinang, Jamil Kamal menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman pertama komuniti mereka bersama TUDM dan berharap ia diteruskan pada masa hadapan.

“Program macam ini bagus dan kami seronok sebab dapat berjumpa dan berinteraksi dengan anggota TUDM.

“Kalau ada lagi selepas ini, kami memang alu-alukan kerana ia membantu masyarakat untuk lebih peka tentang kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kemudahan kesihatan tersedia namun, terdapat sebahagian komuniti terutama golongan tertentu yang masih kurang mendapatkan pemeriksaan awal.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Pulau Indah, Zahanim Zainal Abidin berkata, pemilihan sekolah itu sebagai lokasi program membuka ruang jaringan baharu antara pihak sekolah dan TUDM.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap penjagaan kesihatan.

“Guru dan murid dapat menjalani pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara terus, selain komuniti Orang Asli berhampiran turut menerima manfaat.

“Kami harap kerjasama seperti ini dapat diteruskan dan mungkin diperluaskan kepada program lain seperti pembangunan sahsiah, kerjaya, survival (latihan ikhtiar hidup) dan perkhemahan bersama TUDM,” katanya.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) komuniti Orang Asli, Azizan Sarip berkata, sebahagian penduduk masih mempunyai rasa takut untuk mendapatkan rawatan atau menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, program yang dibawa terus ke komuniti menjadi pendekatan lebih berkesan untuk mengubah persepsi tersebut.

“Bila program datang dekat dengan mereka, lebih ramai yang berani datang periksa. Ada yang takut ke hospital atau takut diperiksa. Kalau boleh selepas ini program seperti ini dibuat terus di kampung supaya lebih ramai dapat hadir,” ujarnya.

Pelaksanaan Program CIMIC oleh IPP TUDM merupakan sebahagian usaha menyokong Teras Ke-4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dan semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img