KERAJAAN Madani mempunyai kewajipan moral untuk menyiasat sumber wang RM50 juta yang digunakan bagi melunaskan denda dikenakan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin berkata, kerajaan yang berulang kali menegaskan komitmennya memerangi rasuah perlu memastikan bayaran itu datang daripada sumber yang sah, tanpa mengira siapa penyumbangnya.
“Walaupun UMNO yang bayar denda itu, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyiasat bagi mengenal pasti jejak wang RM50 juta itu,” katanya lapor FMT.

Kadir berkata, jumlah yang besar itu wajar diteliti asal usulnya, termasuk sama ada terdapat sumbangan daripada individu atau syarikat yang pernah meraih manfaat daripada kontrak kerajaan sebelum ini.
“Sesetengah ahli perniagaan yang dapat manfaat daripada projek-projek ini mungkin berasa terhutang budi. Walaupun sebahagian projek itu berjalan lancar, kemungkinan berlakunya rasuah tidak boleh ditolak sepenuhnya,” tambahnya.
Pada 6 November lalu, diumumkan UMNO melunaskan bayaran denda RM50 juta itu secara penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 Sept mencapai sasaran kutipan, justeru akaun khas yang dibuka bagi menerima sumbangan orang ramai ditutup.
Pembayaran denda itu antara syarat pengampunan diraja Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syara lain yang ditetapkan.
Sementara itu, Bekas Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Khalid Ahmad, berkata pada asasnya, tiada salah mengutip derma, asalkan ia datang daripada sumber yang sah.
“Tidak salah kutip derma, asalkan sumbernya sah di sisi undang-undang. Proses saringan itu bukan matlamatnya, tetapi sumbernya mungkin perlu disaring,’’ katanya kepada FMT.
Khalid berkata, bank dan pihak berkuasa penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk mengesan asal usul dana di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001, jika perlu.
“Bank, BNM dan polis mempunyai hak menyemak dari mana datangnya wang itu dan sama ada ia diperoleh daripada sumber yang sah,” katanya.
Garis panduan pencegahan pengubahan wang haram BNM memperuntukkan semakan transaksi berasaskan risiko, termasuk penelitian lebih ketat ke atas sumber dana bagi kes berisiko tinggi.
Gesaan itu menyusuli kenyataan bekas Ahli Panel Pemantauan SPRM Walter Sandosam bahawa tiada undang-undang yang mewajibkan UMNO mengaudit sumbangan tersebut atau mendedahkan identiti penyumbang.
Sandosam berkata, usaha kutipan dana itu merupakan inisiatif persendirian, walaupun beliau mengakui kontroversi berkenaan menyerlahkan keperluan undang-undang bagi mengawal selia pembiayaan politik.
Khalid berkata, ketiadaan syarat untuk UMNO mendedahkan penyumbangnya merupakan perkara berasingan daripada keupayaan institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan memeriksa pergerakan wang dalam sistem perbankan.
Bagi Kadir, mengenal pasti sumber pembayaran itu akan membantu menjawab persoalan yang menyelubungi kutipan dana berkenaan, tanpa bergantung kepada spekulasi mengenai pihak yang sebenarnya membiayainya.





