SEKRETARIAT Gerak Gempur Media Sosial Rakyat menggesa polis menyiasat pihak bertanggungjawab di sebalik surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan susulan dakwaan beliau tidak bersetuju dengan penyerahan surat itu kepada pihak istana.
Setiausaha Agungnya, Mejar (B0 Razali Zakaria, menggesa polis menyiasat kemungkinan wujud rancangan menjatuhkan Ismail daripada jawatan itu tanpa persetujuan ADUN Juasseh itu.
Katanya, laporan berita berhubung penafian Ismail dan kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap surat itu.
“Percanggahan maklumat yang dilaporkan ini menimbulkan persoalan mengenai pihak yang menyediakan, mengarahkan dan menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut,” kata kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabar Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Razali berkata, polis perlu menyiasat sama ada terdapat rancangan pihak tertentu untuk menyebabkan Ismail hilang jawatan melalui proses menyalahi undang-undang dan kemungkinan wujud kaitan pihak terlibat dalam isu surat ini dengan usaha menyingkirkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Saya juga memohon supaya disiasat sama ada terdapat unsur pakatan jahat jenayah, pemalsuan dokumen, penipuan atau penyalahgunaan kuasa untuk tindakan tersebut,’’ katanya.
Tegasnya, laporan polis ini dibuat bagi mempertahankan demokrasi serta keluhuran perlembagaan Negeri Sembilan sambil berharap siasatan siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan menyeluruh.
Krisis perlembagaan Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, pada 16 Nov lalu mengumumkan Ismail meletak jawatan sebagai menteri besar selepas gabungan itu menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Semalam, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail mengesahkan perkara itu selepas menghadap Tuanku Muhriz dan turut menafikan mengemukakan surat peletakan jawatan serta berikrar untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab diberikan dengan penuh dedikasi.





