KERJASAMA politik antara UMNO dan Pas bukanlah perpaduan Melayu-Islam seperti yang sering digambarkan, sebaliknya lebih menjurus kepada perjuangan berasaskan kaum, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau berkata, naratif perpaduan Melayu-Islam yang dibawa menerusi kerjasama kedua-dua parti itu bertentangan dengan ajaran Islam kerana agama berkenaan tidak membenarkan perjuangan berasaskan kaum atau assobiah.
“Perpaduan UMNO-Pas sebagai pemain utamanya bukanlah perpaduan Melayu-Islam. Naratif perpaduan Melayu-Islam itu adalah salah kerana ia bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.
“Islam tidak pernah dan tidak akan membenarkan ia bersekutu dengan perjuangan berasaskan kaum ataupun assobiah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Pengerusi PKR Johor itu mendakwa Pas semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya apabila memilih untuk kembali bekerjasama dengan UMNO demi mencapai kemenangan politik.
Katanya, Pas yang ditubuhkan pada 1951 selepas keluar daripada UMNO kini dilihat kembali menjalin kerjasama dengan parti berkenaan selepas 75 tahun.
“Jika pada tahun 1951, Pas di waktu itu dalam rahim UMNO sebagai embrio, dalam bentuk Biro Agama UMNO telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Islam Se-Malaya (Pas) pada tahun 1951. 75 tahun kemudiannya pada tahun 2026, ternyata Pas di bawah Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menyerah kalah dan kembali kepada UMNO,” katanya.
Hassan turut mengkritik kerjasama berkenaan dengan membangkitkan beberapa isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Tabung Haji dan Felda.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung tahun depan bakal menjadi penentu kepada hala tuju politik negara, khususnya dalam menentukan sama ada gabungan parti berasaskan nilai atau politik berteraskan sentimen perkauman akan mendapat mandat rakyat.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP membawa tiga nilai teras berbeza sebagai asas perjuangan politik masing-masing.
Beliau berkata, PKR berasaskan nilai keadilan, Amanah berteraskan nilai amanah manakala DAP pula membawa nilai demokrasi.
Katanya, ketiga-tiga parti itu berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008, selain Negeri Sembilan dari 2015 hingga 2026.
PH turut berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali iaitu bagi tempoh Mei 2018 hingga Februari 2020 dan bermula November 2022 sehingga kini.
“Ada tempoh setahun lagi hingga akhir tahun depan 2027 sebelum Parlimen dibubar dan PRU-16 diadakan untuk menentukan sama ada PH yang tidak ada ideologi tunggal.
“Melainkan menggabungkan jenama politik berasaskan nilai dapat bertahan untuk menjadi kerajaan Persekutuan selepas PRU-16 atau terpaksa tumbang dihanyutkan oleh gelombang biru-hijau yang membawa politik berasaskan perpaduan kaum iaitu perpaduan Melayu?” katanya.
Beliau berkata, rakyat mempunyai kuasa menentukan sama ada gabungan tiga parti pelbagai kaum dalam PH yang memperjuangkan keadilan, amanah dan demokrasi untuk semua akan terus diberikan kepercayaan atau digantikan dengan gabungan politik yang menurutnya berteraskan sentimen perkauman.
“Dalam senario yang dinyatakan di atas, maka akan sampailah masanya pada PRU-16 akan datang bagi rakyat Malaysia memutuskan apakah tiga parti politik pelbagai kaum, gabungan dalam PH yang menjunjung perjuangan berasaskan nilai keadilan, amanah dan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia akan ditolak untuk diganti dengan gabungan politik yang berideologikan sentimen perkauman dengan rekod rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah yang berskala global?
“Kuasa pada tangan rakyat. Rakyatlah yang akan dapat kerajaan yang dipilihnya sendiri,” katanya.





