PENSYARAH dan Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, kemelut isu surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lazim memberikan beberapa implikasi politik kepada UMNO, terutama membabitkan kredibiliti kepimpinan, pengaruh politik serta hubungan parti itu dengan institusi Raja.
Menurutnya, percanggahan kenyataan antara kepimpinan Barisan Nasional (BN) dengan Ismail berhubung surat peletakan jawatan Menteri Besar turut menimbulkan persoalan mengenai komunikasi, koordinasi dan ketelusan dalam pengurusan parti.
“Walaupun UMNO tidak hilang kuasa memerintah namun kemelut itu memberikan gambaran bahawa UMNO menghadapi kesukaran menguruskan perubahan kepimpinan secara tersusun,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata, keputusan berkenaan turut memperlihatkan bahawa pengaruh UMNO dalam kerajaan negeri tidak bermakna parti itu mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kedudukan Menteri Besar.
Katanya, sebarang perubahan kepimpinan perlu mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta peranan Yang Diertuan Besar dalam kerangka Raja Berperlembagaan.
Beliau berkata, kemelut itu juga menguji hubungan UMNO dengan institusi Raja memandangkan parti berkenaan selama ini membawa imej sebagai antara parti yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“UMNO perlu menguruskan keadaan ini dengan bijaksana supaya perbezaan politik tidak ditafsirkan sebagai pertentangan dengan institusi istana, khususnya dalam konteks keunikan sistem pemerintahan dan adat Perpatih di Negeri Sembilan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, keputusan istana mengekalkan Ismail memberikan ruang kepada Menteri Besar itu untuk meneruskan pentadbiran dan memperkukuh kedudukannya.
Bagaimanapun, Ismail masih perlu membuktikan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), membentuk barisan Exco serta memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.
Menurut Mohd Azhar, kemelut berkenaan turut menguji hubungan antara kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan negeri, Menteri Besar serta ADUN, terutama bagi memastikan perbezaan dalaman tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran.
Katanya, perkembangan itu sememangnya memberikan kesan kepada UMNO dari sudut kewibawaan kepimpinan, pengaruh politik dan pengurusan hubungan dengan institusi Raja, namun tidak boleh dianggap sebagai kehilangan kuasa politik kerana jawatan Menteri Besar masih disandang wakil parti itu.
Mengulas pengajaran daripada kemelut berkenaan, beliau berkata, kekuatan politik sesebuah parti dalam sistem Raja Berperlembagaan perlu disertai penghormatan terhadap proses perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kedudukan institusi Raja.
“Legitimasi politik yang mampan bukan sahaja bergantung kepada sokongan parti atau majoriti politik, tetapi juga kepada pematuhan terhadap aturan institusi, khususnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menjadi asas kepada kestabilan negara.
“Justeru, dalam situasi sensitif seperti ini, setiap tindakan politik perlu dilaksanakan secara bijaksana, berhemah dan selaras dengan lunas perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai parti yang meletakkan perjuangan mendaulatkan institusi Raja sebagai sebahagian daripada identiti politiknya, UMNO perlu memastikan setiap langkah yang diambil konsisten dengan prinsip berkenaan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh menjejaskan kredibiliti parti, malah berpotensi meningkatkan keraguan rakyat terhadap komitmen sebenar UMNO dalam mempertahankan dan memartabatkan institusi Raja Berperlembagaan.





