RADIO amatur berperanan penting sebagai sistem komunikasi alternatif bagi memastikan penyampaian maklumat kecemasan dan penyelarasan operasi menyelamat terus berjalan sekiranya rangkaian telekomunikasi utama terganggu ketika bencana.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata gangguan komunikasi ketika bencana boleh menjejaskan kelancaran operasi menyelamat serta penyaluran bantuan kepada mangsa.
Sehubungan itu, katanya, keupayaan komunikasi alternatif perlu diperkukuh bagi memastikan maklumat kecemasan dapat disampaikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada rangkaian telekomunikasi sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Papar, hari ini.
Program berkenaan menghimpunkan 10 kelab radio amatur di Sabah bersama pelbagai agensi kerajaan, syarikat telekomunikasi dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh kerjasama serta kesiapsiagaan komunikasi ketika menghadapi bencana.
Menurut Armizan, pemilihan Papar sebagai lokasi penganjuran amat bertepatan berdasarkan pengalaman daerah itu berhadapan kejadian banjir dan tanah runtuh, termasuk pada September 2025 yang turut menyebabkan gangguan perhubungan jalan raya, bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, komuniti radio amatur mempunyai peranan penting sebagai pelengkap kepada sistem komunikasi sedia ada, khususnya ketika infrastruktur komunikasi utama mengalami gangguan.
Beliau turut menghargai inisiatif Kelab Radio Amatur Papar (PARC) membangunkan sendiri stesen pemancar ulang (repeater) di Bukit Pohumpung bagi menyokong keupayaan komunikasi kecemasan di daerah berkenaan.
“Kerjasama antara komuniti radio amatur dengan agensi pengurusan bencana perlu terus diperkukuh melalui latihan dan simulasi secara berterusan.
“Ini penting bagi memastikan penyelarasan maklumat, kecekapan tindak balas serta kelancaran operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata komitmen memperkukuh kesiapsiagaan bencana turut diterjemahkan menerusi Belanjawan 2027, antaranya peruntukan RM2.5 bilion bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.
Selain itu, katanya, sebanyak RM260 juta turut diperuntukkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi meningkatkan keupayaan pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Beliau berkata, mengambil kira ketidaktentuan perubahan iklim serta peningkatan risiko cuaca ekstrem, usaha kesiapsiagaan tidak boleh dilaksanakan secara bermusim, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab bersama secara berterusan demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.





