Enam penunggang motosikal cedera dirempuh kereta di Melaka

ENAM penunggang motosikal cedera dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Taming Sari, berhampiran ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Melaka awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan danPenguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kemalangan membabitkan dua kereta Proton Wira dan enam motosikal berlaku jam 2.27 pagi.

Siasatan awal mendapati kedua-dua kereta dari arah bandar Melaka menghala ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), manakala enam motosikal bergerak dari arah bertentangan.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira dipercayai mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi Proton Wira. Kereta yang dilanggar hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar enam motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, kemalangan menyebabkan enam lelaki berusia antara 23 hingga 29 tahun yang menunggang motosikal mengalami pelbagai kecederaan.

Katanya, mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala kedua-dua pemandu kereta, masing-masing berusia 21 dan 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu kereta mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Terdahulu tular beberapa gambar dan video kemalangan itu di Threads, dipercayai dikongsikan pengguna jalan raya .

Muhammad Zaki berkata, semua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Melaka Tengah, Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-26905852 bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here