KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berturut-turut sememangnya memberikan kelebihan politik dan meningkatkan keyakinan kepimpinan UMNO.
Bagaimanapun Pengarah Eksekutif ILHAM Centre Hisommudin Bakar berkata, kemenangan tersebut tidak seharusnya diterjemahkan melalui sikap atau kenyataan yang boleh memberikan gambaran bahawa UMNO semakin angkuh, sebaliknya perlu menjadi asas untuk memperlihatkan kematangan dan kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan politik.
‘’Perlu dibezakan antara pendekatan politik ketika berkempen dengan tanggungjawab selepas membentuk kerajaan. Ketika berkempen, persaingan dan ketegasan mempertahankan pendirian parti merupakan perkara biasa, tetapi apabila berada dalam kerajaan, setiap pemimpin terikat dengan tanggungjawab bersama untuk memelihara kestabilan dan keharmonian antara parti gabungan,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Pada 19 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa anggota kerajaan perlu menjaga adab serta disiplin dalam urusan rasmi, dan mana-mana pihak yang melanggar kaedah itu wajar meletakkan jawatan atau dinasihatkan berbuat demikian.
Kenyataan tersebut dibuat selepas beliau menerima permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berhubung penggunaan perkataan yang tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementerian di Dewan Rakyat pada 16 November 2026.
Hisommudin berkata, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, pemimpin parti yang menganggotai kerajaan harus menghormati prinsip unanimity rule, iaitu keputusan bersama yang dicapai melalui konsensus dan dipertanggungjawabkan secara kolektif.
Katanya, sebarang perbezaan pandangan sewajarnya diselesaikan melalui rundingan dalaman, bukannya kenyataan terbuka yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keyakinan terhadap kesepakatan kerajaan.
‘’Kenyataan yang bernada angkuh, provokatif atau seolah-olah memperkecilkan rakan dalam kerajaan boleh memberikan persepsi negatif kepada masyarakat, khususnya pengundi muda yang semakin kritikal terhadap tingkah laku dan budaya politik pemimpin.
‘’Golongan ini bukan sahaja menilai kekuatan sesebuah parti berdasarkan kemenangan pilihan raya, tetapi turut memberikan perhatian kepada soal integriti, kematangan dan keupayaan pemimpin menghormati perbezaan pandangan,’’ katanya.
Beliau berkata, UMNO wajar mengambil iktibar bahawa kemenangan dalam tiga PRN bukanlah lesen untuk memperlihatkan keangkuhan politik, apatah lagi keputusan pilihan raya negeri tidak semestinya mencerminkan pola pengundian pada pilihan raya umum.
‘’Kekuatan sebenar UMNO bukan sekadar keupayaan memenangi pilihan raya, tetapi bagaimana parti itu menguruskan kemenangan dengan rendah hati, berhemah dan bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan,’’ katanya





