Anwar titip pesanan kepada calon SPM 2026, kekal tenang dan yakin diri

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menitipkan pesanan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 supaya kekal tenang, yakin dengan kemampuan diri dan menjawab setiap soalan dengan teliti sepanjang peperiksaan bermula hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut mengingatkan calon supaya tidak melupakan doa serta memohon restu ibu bapa dan guru bagi menghadapi peperiksaan penting itu.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Selamat maju jaya kepada semua anak-anak yang mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 hari ini. Terjemahkan segala usaha, pengorbanan dan persediaan selama ini dengan sebaiknya.

“Kekal tenang, yakin pada kemampuan diri dan jawab setiap soalan dengan teliti. Teruskan berdoa dan mohon restu ibu bapa serta guru. Semoga segala urusan dipermudah dan dikurniakan kejayaan, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran itu.

Sebanyak 420,879 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Peperiksaan bertulis itu berlangsung selama 25 hari bermula 23 November hingga 17 Disember ini.

Sebelum itu, ujian bertutur Bahasa Melayu diadakan pada 26 hingga 29 Oktober, manakala ujian bertutur Bahasa Inggeris berlangsung dari 2 hingga 5 November.

Ujian Amali Sains pula dilaksanakan pada 16 hingga 18 November, diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu pada 23 November dan Bahasa Inggeris pada 24 November.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here