TIGA beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 159.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat Tangkak, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 49 tahun serta dua anak lelakinya masing-masing berusia 14 dan dua tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim berkata, MPV jenis Nissan Serena itu dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Johor Bahru ketika kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghantar seorang anak mereka di sebuah universiti di Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi, MPV terbabit dipercayai terbabas ke kiri dan merempuh besi penghadang lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan tiga penumpang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa termasuk pemandu MPV turut mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung insiden ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-982 5324 bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya lagi, jenazah ketiga-tiga beranak itu dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.





