KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penjualan dan pengedaran dua produk kosmetik dihentikan serta-merta selepas dikesan mengandungi bahan yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam kenyataan memaklumkan, produk terbabit adalah Toporin-Hydra Sensitive Cream yang mengandungi bahan racun berjadual miconazole dan Wan Fu Shuang yang mengandungi imazalil.
Susulan pengesanan itu, penjual serta pengedar diarahkan menghentikan penjualan dan pengedaran kedua-dua produk berkenaan dengan serta-merta.
NPRA turut menasihatkan pengguna yang sedang menggunakan produk terbabit supaya menghentikan pemakaian dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya mengalami ketidakselesaan atau kesan advers.
Menurutnya, miconazole tidak dibenarkan digunakan dalam produk kosmetik di Malaysia kerana bahan itu diklasifikasikan sebagai ubat yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan.
“Ubat yang mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Bagi produk Wan Fu Shuang pula, NPRA menjelaskan bahawa imazalil atau dikenali sebagai enilconazole ialah bahan larangan yang tidak dibenarkan sama sekali dalam formulasi kosmetik.
Bahan aktif racun kulat itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, termasuk menyebabkan kerengsaan mata yang serius.
“Pendedahan berulang atau berpanjangan kepada bahan berkenaan juga berpotensi menjejaskan fungsi hati,” katanya.
Dalam pada itu, NPRA mengingatkan bahawa penjualan dan pengedaran kosmetik tidak bernotifikasi merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 18A(15) peraturan sama serta Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Individu yang melakukan kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan maksimum RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.





