LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan ditemukan bersesak dalam sebuah Perodua Myvi yang terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis di Kampung Neting, Pengkalan Kubor di Tumpat awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai tekong berusia 34 tahun berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pemandu kereta itu bertindak memecut sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
“Pasukan rondaan mengesan sebuah Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut untuk melarikan diri.
“Kenderaan itu kemudian terbabas lalu melanggar penghadang jalan, manakala pemandunya yang berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 31 tahun termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.
Katanya, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat di talian 09-725 2482 atau datang ke balai polis berhampiran,” katanya.





