Anggota trafik cedera dirempuh ketika kawal laluan rombongan Sultan Kelantan

SEORANG anggota polis trafik mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah kereta sewaktu menjalankan tugas kawalan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Kampung Kepulau, Palekbang di Tumpat hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 petang sewaktu anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tumpat itu sedang menutup jalan dari arah Morak ke Palekbang.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, penutupan laluan berkenaan dilakukan bagi memberi laluan kepada rombongan Sultan Muhammad V.

Katanya, keberangkatan baginda adalah untuk menunaikan solat Jumaat serta menghadiri Majlis Jamuan Rakyat sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-57.

“Kemalangan berpunca daripada sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 55 tahun dari arah Morak yang dipercayai tidak menyedari kehadiran petugas terbabit.

“Berikutan rempuhan itu, anggota polis berusia 22 tahun berkenaan telah terjatuh dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khairi, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, manakala pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Khairi memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan sebarang rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau bukti lain di lokasi bagi membantu siasatan.

“Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas serta memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan jalan raya, khususnya ketika operasi khas dan kawalan lalu lintas, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here