Polis buru lelaki khianat masjid, ruang solat disertu

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat di sebuah masjid di Kota SPP Warisan di Tumpat selepas menyimbah cecair berwarna coklat kehijauan yang berbau kurang menyenangkan di ruang solat.

Kejadian di Masjid Al-Aziz Al-Hadi itu dikesan selepas polis menerima maklumat awam kira-kira jam 6.35 pagi semalam.

CECAIR berwarna coklat kehijauan dan berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat. GAMBAR: Media Masjid Kelantan

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan sebelum cecair berkenaan dituang di ruang solat.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami.

Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, hampir keseluruhan ruang solat lelaki di tingkat bawah masjid berkenaan telah menjalani proses sertu selepas dikotori cecair yang dipercayai mengandungi campuran najis binatang.

Kerja pembersihan dan sertu sedang dilaksanakan secara berperingkat, manakala ruang solat di tingkat dua masih boleh digunakan seperti biasa.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali suspek supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 6226.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here