TIGA buah kereta mewah masing-masing jenis Bentley, Porsche dan Toyota Vellfire disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah.
Ketiga-tiga kenderaan itu ditahan dalam Op Luxury yang dijalankan JPJ Selangor di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Cyberjaya dan SPK Semenyih di Bangi.
JPJ Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, ketiga-tiga kereta berkenaan disita sebelum dibawa ke JPJ Padang Jawa untuk tindakan lanjut.
“Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua pengguna jalan raya, termasuk pemilik kenderaan mewah, mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut JPJ Selangor, pihaknya turut memberi perhatian terhadap setiap aduan orang awam selain meneruskan pemantauan bagi mengesan sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat lengkap aduan.





