JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 3,790 kenderaan mewah menerusi Op Luxury yang dianggarkan bernilai RM550 juta dari Jun 2025 hingga 26 September tahun ini (semalam) atas pelbagai kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 785 kenderaan disita dari Jun hingga Disember 2025, manakala 3,005 lagi disita dari Januari hingga 26 September 2026.

Beliau berkata, Negeri Sembilan merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 469 kenderaan, diikuti Selangor (410), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (382), Johor (367) dan Pulau Pinang (357).
“Bimbang untuk hadir ke pejabat JPJ bagi memperbaharui cukai jalan kerana disenarai hitam akibat kesalahan lampau, antara alasan diberikan pemilik kenderaan mewah.
“Yang peliknya, golongan berpendapatan rendah boleh datang memperbaharui cukai jalan, tetapi pemilik kenderaan mewah yang tergolong dalam kumpulan T20 memberikan alasan tidak boleh berbuat demikian sehingga kenderaan mereka disita,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Panji di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, dianggarkan 20 peratus pemilik kenderaan mewah itu terdiri daripada usahawan kosmetik, pempengaruh dan ahli perniagaan.
“Kalau sudah disenarai hitam, mereka perlu hadir dan menyelesaikan perkara berkenaan mengikut prosedur ditetapkan, bukannya terus menggunakan kenderaan di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, JPJ akan meneruskan Op Luxury bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang tanpa mengira harga atau jenis kenderaan serta status pemilik.
“Kemampuan memiliki kenderaan mewah mesti disertai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang.
“Pemilik dan pemandu bertanggungjawab memastikan dokumen berkaitan kenderaan dan pemanduan sentiasa sah serta kenderaan mematuhi segala ketetapan sebelum digunakan di jalan raya,” tegas beliau.





