Pemilik syarikat didenda RM96,000 tipu tuntutan insentif Perkeso RM196,760

SEORANG pemilik syarikat didenda RM96,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan menipu berkaitan permohonan insentif pengambilan pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM196,760.

Tertuduh, K Shiva Linga, 33, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemilik Amdocs Technology didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso pada 30 Jun 2021.

Dia didakwa dengan curangnya mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja bertarikh 28 Jun 2021 yang mengandungi maklumat individu yang bukan pekerja syarikat berkenaan.

Perbuatan itu bertujuan memperdaya seorang pekerja wanita Perkeso supaya mempercayai dokumen berkenaan sebelum menerima permohonan tuntutan insentif terbabit.

Daripada enam pertuduhan, tuntutan pertama membabitkan RM25,340 bagi seorang individu, manakala pertuduhan kedua melibatkan RM48,520 bagi dua individu.

Pertuduhan ketiga dan keempat masing-masing membabitkan tuntutan RM14,420 dan RM26,920, manakala pertuduhan kelima melibatkan RM26,420.

Pertuduhan keenam pula membabitkan nilai tertinggi iaitu RM55,140 bagi dua individu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, lapor BH.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM16,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM96,000 yang kemudian dibayar oleh tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here