SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan seorang warga Singapura yang dikehendaki Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) negara itu selepas suspek ditahan dalam operasi bersepadu di Johor, kelmarin.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an yang bekerja sendiri itu diserahkan kepada CPIB semalam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
SPRM dalam kenyataan berkata, suspek yang dikehendaki CPIB itu dipercayai melarikan diri selama empat tahun sebelum berjaya dikesan menerusi kerjasama rentas agensi antarabangsa.
Suspek ditahan kira-kira jam 7 malam, 22 November lalu dalam operasi bersepadu membabitkan Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM Johor dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kes rasuah di Singapura selain memasuki Malaysia secara haram.
Suspek turut dipercayai memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Malaysia sebagai balasan supaya tiada tindakan undang-undang diambil terhadapnya kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
SPRM berkata, penyerahan suspek dilaksanakan menerusi kerjasama CPIB dan Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) SPRM.





