Padah aksi ‘Superman’, penunggang RXZ warga Singapura ditahan

SEORANG lelaki warga Singapura ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya ‘Superman’ ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu di Kilometer 403 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek yang menunggang motosikal Yamaha RXZ ditahan selepas didapati memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dalam perjalanan ke Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus bagi menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0.

“Lelaki itu didapati melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal sebelum ditahan oleh anggota JSPT Terengganu.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya kepada orang awam.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, Sharudin menasihatkan semua pengguna jalan raya termasuk peserta RXZ Members 8.0 supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img